~Khutbah ini disampaikan pada 9hb.
Zulhijah Tahun 10 Hijriyah di Lembah Uranah, Gunung Arafah~
Wahai manusia, dengarlah baik-baik
apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi
dengan kamu selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini
dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari
ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu
menganggap bulan ini dan kota
ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai
amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya
yang berhak. Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu
lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui TUHAN kamu dan DIA pasti
membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. ALLAH telah mengharamkan riba,
oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi
keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam
perkara-perkara besar, maka jaga-jagalah kamu supaya tidak mengikutinya dalam
perkara-perkara kecil.
Wahai manusia sebagaimana kamu
mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu.
Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak
untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah
wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana
sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu
atas mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai
kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah
bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah ALLAH, dirikanlah sembahyang lima kali sehari,
berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu.
Kerjakanlah ‘ibadah haji’ sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim
adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang
pun yang lebih mulia dari yang lainya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah, bahawa kamu boleh mengadap
ALLAH pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah
kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari
landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi
atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu
wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku
sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara,
yang sekirangnya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu
tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-quran
dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar
ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih
memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah ya ALLAH,
bahawasanya telah aku sampaikan risalah MU kepada hamba-hamba MU…
(tanpa edit, original dari si penghantar.)

No comments:
Post a Comment