Abu Sa'id al-Hasan ibn Abi-l-Hasan Yasar Al-Basri atau Hasan Al-Basri ialah ahli teologi Arab terkenal dan Cendekiawan Muslim.
Hasan Al-Basri dilahirkan di Madinah pada masa pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Beliau pernah menyusu dengan Ummu Salamah, isteri Rasulullah S.A.W. Hasan al-Basri juga pernah berguru kepada beberapa orang sahabat Rasulullah S.A.W. sehingga beliau muncul sebagai Ulama terkemuka dalam peradapan Islam. Hasan al-Basri telah meninggal dunia di Basrah, Iraq, pada hari jumaat 5 Rejab 110 Hijrah (728 Masihi), pada umur 89 tahun. Beliau pernah hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik b. Marwan.Hasan Al-Basri pada zaman mudanya, kelihatan bagus dan tampan, lebih-lebih apabila memakai pakaian yang mahal. Beliau sering berjalan-jalan sekeliling kampung di kota Basrah kerana sangat senang kerana keindahan dan ramainya penduduk tinggal di kota itu.
Pada suatu hari, ketika
Hasan berjalan, secara tiba-tiba beliau melihat seorang wanita cantik. Melihat
wanita cantik itu, Hasan lalu berjalan mengikutinya. Wanita itu menoleh, sambil
berkata kepadanya: "Apakah engkau tidak malu?" Jawab Hasan:
"Malu pada siapa?" Wanita itu berkata: "Malu kepada
Zat Yang Maha Mengetahui, mata yang khianat dan apa-apa yang terlintas di dalam
hati."
Tertanam rasa cinta di
dalam hati Hasan terhadap wanita itu sehingga tidak sabar dan tidak boleh
menguasai nafsunya. Akhirnya ia terus mengikuti di belakang wanita itu. Wanita
itu berkata lagi kepadanya: "Mengapa engkau mengikuti aku?"
Jawab Hasan: "Sungguh, aku terpesona dengan pandangan matamu itu."
Wanita itu berkata: "Tunggulah di sini, nanti akan aku kirim apa yang
engkau kehendaki." Hasan beranggapan wanita itu menaruh cinta
kepadanya, sebagaimana dia jatuh cinta kepada wanita itu. Beliau pun menunggu
di tempat itu.
Tidak beberapa lama
kemudian, datanglah seorang pelayan wanita itu kepadanya membawa bekas bertutup
sehelai sapu tangan. Ketika Hasan membuka tutup bekas itu, ternyata dua mata
wanita itu ada di dalamnya. Melihat hal sedemikian, maka pelayan tersebut
berkata: "Sungguh tuan puteri berkata: "Aku tidak ingin mata yang
memuatkan fitnah dan mempesonakan orang." Sebaik Hasan mendengar
kenyataan ucapan daripada pelayan wanita itu, dia gementar dan berdiri bulu
romanya, lalu memegang janggutnya dan berkata kepada dirinya: "Celaka
engkau, sebab sudah berjanggut mengapa tidak malu terhadap wanita cantik itu."
Dia pun menyesal dan bertaubat pada saat itu sebelum pulang ke rumahnya dan
menangis semalaman.
Keesokan paginya, Hasan ke
rumah wanita itu untuk meminta maaf atas segala kesalahannya. Sebaik tiba di
rumah wanita berkenaan, rumahnya tertutup dan mendengar suara tangisan wanita
dari dalam rumah itu. Akhirnya, beliau pun bertanya apa yang berlaku. Dikatakan
bahawa pemilik rumah itu telah meninggal dunia. Hasan kembali ke rumahnya dan
menangis selama tiga hari. Pada malam ketiga, dia bermimpi melihat wanita
cantik itu sedang berada di dalam syurga. Hasan berkata kepada wanita itu dalam
mimpiya: "Hai wanita yang cantik, maafkan olehmu semua kesalahanku."
Jawab wanita itu: "Sungguh, semua sudah kumaafkan kerana aku memperoleh
kebaikan daripada Allah sebab engkau."
Hasan berkata: "Berikanlah
kepadaku akan nasihatmu." "Kalau engkau sendirian,
berzikirlah atau ingatlah kepada Allah. Dan pada setiap pagi mahupun petang,
beristighfar memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepadaNya,"
kata wanita berkenaan. Mendengar nasihat daripada wanita itu, Hasan menerima
dan melaksanakan nasihat tersebut sehingga dia menjadi seorang Sufi yang
masyhur di kalangan masyarakat dengan sifat zuhud dan taatnya kepada Allah SWT.
Akhirnya, dia pun memperoleh darjat yang tinggi dan mulia serta menjadi seorang
wali dan kekasih Allah SWT.
Akhirat Kekal. Be Professional.
Penulis : Norhasnita Hassan

No comments:
Post a Comment